Urus Kesihatan untuk Cepat Pulih
PEPATAH ada mengatakan lain padang lain belalang. Begitu
juga dengan rasa kesakitan yang dialami oleh setiap individu. Memang berbeza
antara satu sama lain.
Pakar Bius dan Pakar Pengurusan Penyakit Hospital Pantai,
Dr. R. Gopinathan memberitahu, contohnya seperti reaksi yang ditunjukkan oleh
seseorang yang mengalami masalah patah pergelangan tangan.
''Ada yang menunjukkan rasa sakit yang sedikit. Ada pula
yang akan menganggap keadaan menjadi teruk sekali,'' katanya ketika ditemui di
pejabatnya yang terletak di Jalan Bukit Pantai, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Jelas Dr. Gopinathan, ini menunjukkan rasa sakit sebenarnya
bergantung kepada daya ketahanan diri individu terhadap kecederaan atau luka.
Sesetengah individu terlalu takut hingga menambah rasa kesakitan.
Jelasnya, dalam kes seperti itu hanya menerusi rawatan,
ubat-ubatan dan nasihat yang berkaitan dapat memulihkan keadaan pesakit.
Justeru, setiap individu perlu pandai menguruskan kesakitan
agar cepat pulih atau bertemu dengan doktor untuk mempelajari kaedah
menguruskan rasa sakit.
Biasanya, kata Dr. Gopinathan kesan kesakitan yang dapat
dilihat dengan mata kasar dikategorikan sebagai ringan.
''Penyakit ringan ini dijangka boleh sembuh dalam tempoh
tiga bulan,'' katanya.
Bagaimanapun katanya, sakit yang melibatkan urat saraf
seperti sakit tengkuk, sakit belakang, sakit pinggang yang dihadapi hampir
kebanyakan orang dewasa pula dikategorikan sebagai penyakit yang tidak boleh
dilihat dengan jelas.
Kesakitan seperti itu biasanya kata beliau, akan melalui
tempoh yang agak lama untuk dipulihkan.
''Ia juga akan turut memberikan kesan terhadap kehidupan
peribadi seseorang . Pesakit itu mudah rasa cemas, tidak dapat tidur dan tidak
yakin pada diri sendiri,'' katanya.
Dr. Gopinathan berkata, ia akan menyebabkan seseorang itu
menjadi murung, tidak mahu keluar rumah sehingga merasakan tidak ada langsung
rawatan untuk membantunya pulih.
Bagaimanapun katanya, kerunsingan itu boleh diatasi jika mereka
menemui doktor yang mempunyai kepakaran dalam pengurusan penyakit.
''Di sini mereka akan mendapat nasihat untuk mencuba kaedah
yang terbaik untuk mengurangkan rasa sakit yang dialami,'' katanya.
Sebagai contoh katanya, bukan semua sakit di bahagian
pinggang itu akan menyebabkan seseorang itu diserang penyakit lain yang lebih
ditakuti seperti buah pinggang atau kanser.
Beliau berkata, dengan adanya teknologi rawatan moden,
penyakit ini dapat dipulihkan dan pesakit akan dapat menikmati kehidupan dengan
lebih baik.
Kata beliau, terdapat juga rawatan lebih moden seperti laser
yang mana tidak lagi memerlukan pembedahan sebagai rawatan.
Selain itu katanya, kaedah lain yang digunakan untuk
mengurangkan sakit tengkuk dan belakang menggunakan radiofrequency ablation.
''Cara rawatan baru ini hanya dilakukan dalam tempoh
beberapa jam sahaja. Selepas rawatan pesakit boleh terus pulang ke rumah,''
katanya.
Beliau memberitahu, pesakit bukan sahaja akan diberikan
ubat-ubatan, tetapi juga latihan fisioterapi dan sebagainya.
Dr. Gopinathan juga memberikan untuk hidup sihat seseorang
itu perlu melakukan senaman regangan tangan yang boleh dilakukan sewaktu dalam
keadaan duduk atau berdiri dan berjalan kaki menggunakan kasut yang sesuai dan
menaiki tangga.
''Individu iuga perlu mengambil makanan yang menyihatkan dan
elak daripada mengambil makanan lewat di waktu malam,'' katanya.
Selain itu katanya, perlu juga berfikiran positif agar
setiap penyakit yang dihadapi oleh seseorang akan sembuh dengan cepat.
''Cari rakan-rakan yang mempunyai penyakit yang sama supaya
dapat dikongsi pengalaman agar dapat mengelak diri dari terus dalam keadaan
runsing,'' katanya.
Kata beliau, sebaiknya carilah apa sahaja hobi yang boleh
diisi ketika waktu terluang supaya dapat mengelak daripada berfikir tentang
penyakit yang dialami.
Selain itu, kena tenangkan fikiran supaya dapat menikmati
kehidupan dengan lebih baik.
''Cuba biasakan diri dengan menarik nafas sedalam-dalamnya
dan kemudian lepaskan secara perlahan-lahan supaya diri berada di dalam keadaan
yang lebih tenang,'' katanya.
Katanya, sebaik-baiknya cuba bersosial bagi mengelak diri
daripada bersendirian atau berinteraksi dengan rakan baru menerusi laman sosial
Facebook (FB).
Di samping itu, katanya, jangan menyalahkan diri sendiri
atau orang lain di atas kesakitan yang dihadapi sebaliknya hadapi dengan tabah.
Utusan Malaysia Online - Kesihatan
No comments